KUALA LUMPUR 9 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
mengingatkan semua pihak agar berhenti mengeluarkan sebarang ucapan atau
kata-kata berbaur perkauman yang boleh mencetus persengketaan antara
kaum.
Katanya, kemakmuran Malaysia wajib dipertahan kerana negara ini tidak
dibina dengan mudah, sebaliknya telah banyak pengorbanan keringat serta
nyawa ditumpahkan baik oleh pihak kerajaan mahu pun pejuang kemerdekaan
sejak dahulu.
Tegas beliau, sebarang kealpaan, sikap buta sejarah dan mementingkan
diri sendiri pihak tertentu tanpa mengambil kira sensitiviti kumpulan
lain hanya akan menjerumuskan Malaysia ke dalam kancah kemusnahan.
"Kita bina negara ini bukan mudah. Banyak pengorbanan terpaksa
dibuat. Janganlah kita musnahkan. Jangan bersikap alpa dan buta sejarah
atau mementingkan diri sendiri demi kepentingan atau objektif politik.
"Negara ini mempunyai masa depan yang cukup cerah (hasil pentadbiran
kerajaan Barisan Nasional), jangan kita musnahkan," katanya semasa
berucap merasmikan Program Penyatuan Nasional 2014, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph
Kurup; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.
Dalam pada itu, Najib berkata, inisiatif penyatuan nasional lahir
selepas kerajaan bimbang dengan perluasan polarisasi antara kaum dan
menurutnya jika keadaan tersebut tidak ditangani dengan segera tidak
mustahil malapetaka akan muncul.
Tambah Perdana Menteri walaupun masalah tersebut belum berada pada
tahap serius tetapi langkah pencegahan dan penyatuan perlu dilakukan
dengan segera kerana tiada guna untuk bertindak selepas sesuatu sudah
musnah.
"Rakyat perlu memainkan peranan utama untuk mengekalkan keharmonian
dan perpaduan ini kerana kerajaan hanya pemudah cara untuk memastikan
polarisasi ini dapat ditangani dengan sebaik mungkin demi kepentingan
bersama.
"Kita tidak mahu hanya selepas keadaan sudah parah baru hendak
bertindak kerana keharmonian ini adalah nikmat tidak terhingga yang
wajib dipertahankan semua pihak kerana tiada kemajuan tanpa keamanan,"
katanya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140310/dn_03/PM-mahu-semua-pihak-berhenti-cetus-isu-perkauman#ixzz2vQDyTcsx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Read more...